+60126907705
trader@tekniktrade.com
MK, Desa Putra, Selangor

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Smart Money dan Operator Sindiket?

Ramai yang tertanya – tanya tentang apakah yang dimaksudkan dengan Smart Money dan Operator Sindiket? Harga saham biasanya akan digerakkan oleh market participant seperti investor dan trader runcit (retailer). Cuma, untuk menggerak dan memacu gerakan harga saham, perlukan modal kewangan yang sangat besar. Disitu wujudnya Smart Money dan Operator Sindiket. Sebenarnya Smart Money juga disebut sebagai Operator tetapi “Operator” yang dimaksudkan didalam penulisan ini adalah Operator Sindiket yang memanipulasikan gerakan harga saham untuk kepentingan sendiri. Melalui gerakan chart dan pattern chart kita dapat kenalpasti dengan mudah adakah chart tersebut dikawal oleh Smart Money atau Operator Sindiket. Cuma, ramai trader runcit (retailer) yang selalu terjebak dengan kaunter yang dikawal oleh Operator Sindiket kerana harga naik lebih laju. Sikap tamak itu yang biasanya memerangkap trader di puncak harga. Untuk bacaan tentang Operator Sindiket, kami pernah kongsikan sebelum ini dalam penulisan yang bertajuk “Operator Sindiket di Pasaran Saham”. Jemput baca ya. Didalam penulisan kali ini juga kami akan kongsikan tentang Operator Sindiket dengan lebih mendalam.

SMART MONEY

Smart Money merupakan pelaburan yang dibuat oleh profesional kewangan yang berpengetahuan luas dan berpengalaman. Modal pelaburan smart money dikawal oleh pelabur institusi, pakar pasaran, bank, dana dan profesional kewangan lain.

Istilah “Smart Money” berasal daripada penjudi (gamblers) yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang sukan yang mereka pertaruhkan juga mendapat maklumat daripada “orang dalam” yang tidak diketahui oleh orang ramai. Jadi, mereka akan lebih mudah untuk memenangi perjudian tersebut. Dunia pelaburan juga serupa. Pelabur “Smart Money” mempunyai pemahaman dan maklumat yang lebih lengkap tentang pasaran dan halatuju sesuatu syarikat (kaunter saham) serta maklumat dalaman yang tidak dapat diakses oleh pelabur biasa / pelabur runcit (retailer).

Dana untuk modal pelaburan oleh “Smart Money” cukup besar dan mampu untuk mengerakkan pasaran (kaunter saham). Mereka juga dikenali sebagai “Big Boys” dalam dunia pelaburan saham. Jadi, sebagai trader biasa dengan modal pelaburan yang terhad, kita digalakkan untuk memahami tentang gerakan yang dilakukan oleh “Smart Money” dan mengikut tindakan yang mereka lakukan. Adakah membuat belian (acquired) atau menjual (disposed)? Ini kerana adakalanya “Smart Money” ini memasang perangkap untuk memerangkap para retailer. Disitu wujudnya istilah “bull trap” dan “bear trap”

Banyak juga indicator chart yang dibangunkan untuk mengesan gerakan “Smart Money (Big Boys)” ini antaranya Smart money index (SMI), Smart Money Fow Index (SMFI), Banker Chip Indicator dan sebagainya. Ini kerana, ramai yang percaya, lebih mudah untuk memperoleh keuntungan dalam trading jika boleh mengikut rapat aktiviti yang dilakukan oleh Smart Money.

Di Malaysia, “Smart Money” atau juga dikenali sebagai “Jerung” manakala trader biasa (retailer) dikenali sebagai “Bilis”. Siapakah Smart Money (Jerung) yang dimaksudkan ini? Mereka terdiri daripada syarikat – syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) – KWAP, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji. “Smart Money” dari luar negara yang aktif melabur dalam kaunter saham Malaysia adalah The Vanguard Group, Inc, Statens Pensjonsfond Utland, Norges Bank Investment Management (NBIM) dan BlackRock Institutional Trust Company, N.A. Selain daripada syarikat GLC, kita juga boleh jumpa “Smart Money” yang lain seperti  Eastspring Investments Berhad, Public Mutual Berhad, Kenanga Investors Berhad, AIA Bhd dan sebagainya. Pengurusan tertinggi sesuatu syarikat kaunter saham seperti Chief Executive Officer (CEO), Chief Financial Officer(CFO), Managing Director, Executive Director dan lembaga pengarah syarikat juga boleh dikategorikan sebagai “Smart Money” kerana mereka juga dirujuk sebagai “insider trade” ataupun “orang dalam”. Jadi, sebagai trader biasa, kita juga perlu ambil perhatian jika ada berlakunya “insider trade” samada belian (acquired) atau jualan (disposed). Jika berlaku pembelian atau penjualan drastik (amaun yang besar) maka sesuatu bakal berlaku kepada halatuju syarikat dan juga harga saham.

Kebiasaanya, “Smart Money” akan melabur dalam syarikat / kaunter saham yang mempunyai asas (fundamental) yang kuat dari segi kewangan dan prospek masa depan. Jadi, kaunter saham yang mempunyai “Smart Money” didalamnya sesuai untuk membuat pelaburan jangka panjang jika arah gerakan harga dalam aliran menaik. 

Bagaimana Untuk Mengesan dan Kenalpasti “Smart Money”

  1. Urus niaga (transaksi) besar: Pelabur “Smart Money” sering membuat pelaburan strategik yang besar dalam syarikat (kaunter saham) yang mereka percaya mempunyai prestasi yang bagus, berpotensi tinggi dan mempunyai prospek untuk pelaburan jangka panjang. Oleh itu, kita perlu membuat kajian dan analisis chart dengan melihat volume transaksi samada “Smart Money” sedang membuat pengumpulan menambah pegangan saham (acquired) atau mengurangkan pegangan saham (disposed). Jika banyak transaksi pengurangan pegangan (disposed), kemungkinan “Smart Money” sudah tidak / kurang berminat dengan syarikat (kaunter saham) tersebut.
  2. Pembelian orang dalam (insider buying / insider trade) : Orang dalam (insider) seperti eksekutif syarikat atau ahli lembaga dianggap sebagai “Smart Money” kerana mereka biasanya akan mempunyai maklumat tambahan tentang syarikat masing-masing yang mereka sertai. Apabila individu ini membeli saham syarikat mereka sendiri, ia boleh menjadi tanda keyakinan terhadap prospek masa depan syarikat. Kebiasaannya, tidak lama selepas insider buying / insider trade, akan muncul berita baik tentang syarikat seperti mendapat projek baru, prestasi kewangan yang melonjak naik dalam laporan kewangan sukuan (quarter report), mengeluarkan produk terbaru dan sebagainya yang pastinya akan menolak naik harga saham syarikat.
  3. Sektor dengan potensi pertumbuhan yang kukuh: Pelabur “Smart Money” sering menumpukan pada sektor atau industri yang dijangka mengalami pertumbuhan yang ketara pada masa hadapan, seperti teknologi atau penjagaan kesihatan.
  4. Gerakan pelaburan jangka panjang: Memegang pelaburan selama beberapa tahun dan perlahan – lahan menjadikan pelaburan ini berkembang dan menjadi matang biasanya merupakan tanda kaunter dikawal oleh Smart Money. .
  5. Analisis fundamental : Pelabur Smart Money biasanya menjalankan analisis fundamental yang mendalam, termasuk menganalisis penyata kewangan, pasukan pengurusan syarikat (management team) dan arah aliran pasaran untuk sektor perniagaan syarikat.

Contoh gerakan chart Smart Money nampak lebih tersusun dan tidak terburu – buru. Kenaikkan membentuk zig zag Higher High Higher Low (HHHL) yang sihat. Mengambil masa yang lama untuk naik begitu juga untuk turun. Boleh baca tentang “Arah Aliran Trend Dalam Struktur Pasaran” dan “Fasa – Fasa Dalam Struktur Pasaran” untuk penerangan tentang gerakan chart.

smart money dan operator sindiket

OPERATOR SINDIKET (STOCK OPERATOR)

Satu lagi kumpulan yang lebih kurang sama dengan “Smart money” tetapi matlamatnya agak berlawanan dengan “Smart Money” dikenali sebagai “Operator Sindiket”.

Didalam pasaran saham, istilah “operator sindiket (stock operator)” merujuk kepada individu atau entiti yang mempunyai pengaruh untuk memanipulasikan hala tuju pasaran (harga kaunter saham). “Stock Operator” saham boleh jadi sekumpulan trader yang membuat pakatan untuk bekerjasama, pelabur (investor), atau peserta (participant) dalam pasaran saham yang berdagang dengan niat untuk memanipulasi gerakan harga saham dengan meningkatkan volume transaksi untuk membuatkan sesuatu kaunter aktif sekaligus menolak naik harga ke atas. Kebiasaannya mereka sudah membuat pembelian lebih awal di aras – aras sokongan (demand area).

Kumpulan ini mempunyai dana yang cukup besar untuk membolehkan mereka memanipulasi aktiviti transaksi jual beli untuk menunjukkan sesuatu kaunter saham itu aktif. Kaunter saham yang aktif dan sedang bergerak naik mudah untuk menarik minat trader biasa / runcit (retailer). Mereka akan memanipulasi chart untuk membolehkan kaunter saham tersenarai dalam senarai tapisan (screener) dan mereka menggunakan pengaruh media sosial, laman web dan group telegram / whatsapp untuk menyebarkan khabar angin (rumors) yang bagus tentang kaunter saham yang sedang dimanipulasikan.

Biasanya kaunter pilihan “stock operator” ini dikenali sebagai “kaunter goreng” ataupun “pump and dump”. Jika dilihat dari segi analisis fundamental memang prestasi syarikat sangat teruk dan perniagaan sentiasa kerugian. Modal dagangan (market capital) dan jumlah saham yang didagangkan juga sangat rendah. Biasanya markat capital di bawah RM200 juta. Kaunter seperti ini dipanggil sebagai “kaunter ringan”. Jadi memang mudah untuk dimanipulasikan.  Chart pattern untuk kaunter gorengan operator memang mudah dilihat kerana ianya akan dimulakan dengan volume yang besar untuk menarik minat pelabur / trader yang lain serta membuat kenaikkan yang laju. Harga akan naik berhari – hari sebelum muncul candle besar hijau atau rejection candle merah di puncak kenaikkan. Seterusnya harga akan mula turun dan kita akan dapat lihat chart pattern berbentuk V terbalik yang dikenali sebagai V-Top chart pattern. Gerakan kaunter “stock operator” ini biasanya tidak lama iaitu dalam sela masa 2 minggu hingga 2 bulan dengan membuat kenaikkan 100% – 200% atau lebih. Chart di bawah ini menunjukkan contoh kaunter gorengan operator. Kenaikkan yang sangat laju dan tajam, turun pun sama laju dah tajam.

Jika buka historical chart, mudah untuk dikesan kaunter yang dimanipulasi oleh operator sindiket. Biasanya akan nampak banyak piramid (V-Top Chart Pattern). Samada piramid besar atau kecil. Kaunter begini juga dikenali sebagai kaunter firaun sebab suka bina piramid.

Semoga perkongsian tentang Smart Money dan Operator Sindiket ini memberikan manfaat kepada rakan – rakan yang membacanya. Jemput baca tentang penulisan yang berkait rapat dengan topik ini iaitu Apa itu Struktur Pasaran (Market Structure), Jenis – Jenis Struktur Pasaran, Fasa – Fasa Dalam Struktur Pasaran dan Arah Aliran Trend Dalam Struktur Pasaran.

Selain itu, jika berminat untuk pelajari tentang Struktur Pasaran (Market Structure) dan Teknik Trade Breakout, boleh klik pada image di bawah :

PENAFIAN (DISCLAIMER) untuk semua perkongsian dan penulisan di website ini termasuk perkongsian / penulisan ini : https://www.tekniktrade.com/penafian-disclaimer/

Leave a Reply

Verified by MonsterInsights